SYARIKAT YANG TIDAK PATUH SYARIAH (SYARIAH COMPLIANT)
1. Syarikat yang membuat marketing (promosi) menggunakan imej dan gambar orang yang membuka aurat. Tidak kira produk anda tentang apa, tiada perniagaan yang terkecuali. Anda mendapat ‘saham’ bagi setiap orang yang melihat aurat tersebut, kerana anda penyebarnya. Solusi : Potong atau lindung mana-mana bahagian gambar yang dikira aurat. Dedahkan mana yang bukan aurat sahaja.
2. Syarikat yang TIDAK membayar zakat. Hukumnya wajib. Boleh rujuk semula kepada bahagian zakat. Operasi zakat perniagaan dikira setahun operasi. Ikhlas dan jujur mengira keuntungan perniagaan anda untuk bayaran zakat yang bersih.
3. Syarikat yang melabur dalam pelaburan yang tidak patuh syariah. Maka hasil keuntungan anda adalah ‘membahayakan’. Pelaburan yang tidak syariah bukan sekadar kerana aktiviti syarikat yang dilabur itu dan produknya yang haram, tetapi juga kerana sistem pulangannya yang menjamin duit pelabur. Menjamin wang pelabur adalah sama dengan riba. Tiada yang pasti dalam urusan perniagaan sebenar.
4. Untuk mengelakkan masalah atau syuhbah, sebaiknya syarikat anda mempunyai aset, jualan produk dan manfaat yang lebih banyak daripada hutang dan duit fulus yang diniagakan, terutamanya jika anda membuka unit saham syarikat anda kepada umum. Dibimbangi syarikat lain melabur atas duit hutang, bukannya produk, manfaat dan aktiviti syarikat anda. Duit atas duit ‘bahaya’ di sisi Islam.
5. Syarikat yang mengenakan bayaran khas kepada pelanggan (membership/ keahlian) supaya pelanggan mendapat diskaun produk dan servis dari syarikat ‘semata-mata’ tanpa manfaat lain (manfaat lain seperti sewa penggunaan resort syarikat, penggunaan dewan atau lain-lain), hukumnya boleh jadi haram. Kerana anda ‘membayar’ semata-mata mendapat nilai wang lain (iaitu diskaun). Wang untuk wang adalah haram. Kecuali ada manfaat tambahan diperolehi seperti yang dijelaskan di atas.
6. Syarikat yang menggunakan akaun bank konvensional sebagai simpanan atau menerima bayaran dari pelanggan adalah tidak patuh syariah. Pilih akaun bank yang Islamik seperti Wadiáh, Mudharabah dan sebagainya. Ia menjamin keberkatan perniagaan anda.
7. Caruman sebarang insurans dalam perniagaan hendaklah diteliti dan berhati-hati. Menggunakan takaful Islam lebih baik dan lebih diredhai Tuhan berbanding insuran biasa. Malah kereta sebagai aset perniagaan juga mesti diinsuranskan dengan Takaful atau mana-mana insuran yang Islamik.
8. Pinjaman perniagaan perlulah mengikut sistem pinjaman berasaskan Islam seperti Murabahah dan sebagainya. Murabahah sebagai contoh, melibatkan jual beli pada bangunan atau barang yang dikehendaki syarikat, dan bank mengambil untung jualan kepada syarikat tersebut, bukannya keuntungan duit atas duit yang dipanggil riba.
9. Syarikat yang tidak patuh syariah 100% adalah syarikat membuat promosi palsu. Dijanjinya jualan terhad kepada 300 orang, tapi sebenarnya langsung tiada had yang dimaksudkan. Dijanjinya akan ditutup pada 9.00 malam, tetapi masih dibuka berminggu-minggu selepasnya sekalipun. Anda boleh tawarkan harga promosi setiap masa, tetapi bukan membuat harga promosi palsu. Pastikan paling kurang ada masanya di mana harga produk kembali kepada harga asal.
10. Syarikat yang menghalang para pekerjanya melakukan kewajipan atau memaksa mereka melakukan maksiat. Sebagai contoh, syarikat menghalang pekerjanya melakukan solat ketika waktu rehat atau waktu rehat yang bukan waktu solat, maka syarikat itu tidak patuh syari’ah. Harus diingat, kita juga tidak mahu bersubahat sekiranya bekerja dengan syarikat kita, para pekerja menjadi teramat sibuk sehingga tidak sempat menunaikan solat. Jangan syarikat kita menjadi ‘penyumbang’ ke arah negatif itu.
11. Syarikat yang merahsiakan segala maklumat deskripsi produknya, dibimbangi menjual produk yang syubhah. Jual beli yang gharar (tidak jelas). Boleh menyebabkan mereka berbuat sesuka hati pada produk sehingga jika benar diletak sesuatu dalam produk, maka ada pihak yang tidak perasan isi kandungannya sedangkan sudah memakan atau menggunakan produk yang haram tanpa disedari. Sebaiknya jual produk yang mendapat sijik HALAL. Begitu juga dengan syarikat pelaburan emas. Jika pelanggan membeli emas, pastikan produk diserahkan dan disertakan sijil atau lain-lain sebagai bukti pembelian.
12. Syarikat yang membenarkan mana-mana pihak luar mengiklan produk tidak syariah di laman web/ akaun facebook/ forum / blog mereka. Membenarkan pengiklanan mereka seperti produk arak, bermakna syarikat tersebut juga bersubahat dalam menyebarkan budaya minum arak di kalangan masyarakat. Hukumnya sudah sedia maklum.
13. Syarikat yang menekan pekerja dan tidak menjaga kebajikan mereka. Para pekerja mereka ada hak untuk berehat, balik rumah, kesihatan dan sebagainya. Jika tiada peruntukan kewangan pun, jangan halang mereka mendapatkan rawatan jika tidak sihat dan jangan paksa mereka bekerja 20 jam jika mereka tidak rela. Jika mereka mahu kerana kerelaan mereka, maka itu tidak salah. Islam menyuruh syarikat menjaga para pekerjanya, bukannya memerah keringat mereka sehingga nyawa-nyawa ikan.
14. Syarikat yang membebankan para pembeli khususnya pada keperluan wajib harian dan keperluan wajib seumur hidup mereka. Tidak seharusnya ini berlaku. Malah, monopoli adalah perkara yang tidak sihat untuk perniagaan dan manfaat masyarakat. Islam melarang monopoli, menyorokkan barang kerana mahu menaikkan harga dan sebagainya.
15. Syarikat yang menipu pelanggan dengan mengatakan produk mereka lebih murah berbanding harga pasaran, sedangkan sebaliknya.
16. Syarikat yang tidak menunaikan janji. Janji memberikan jaminan wang dikembalikan, tetapi tidak memulangkan wang pelanggan setelah diminta. Terlewat tidak mengapa asalkan dimaklum, tetapi janji mesti ditunai. Begitu juga syarikat yang menjanjikan komisen kepada para pekerja atau agen, kemudian tidak ditunaikan.
17. Syarikat yang menghina dan memburuk-burukkan produk lain, bagi menunjukkan produknya sahaja yang hebat. Membuat perbandingan secara umum adalah lebih baik berbanding menyebut nama pesaing yang dibandingkan. Dan buatlah perbandingan mengikut adab dan akhlak yang baik.
18. Syarikat yang membuat cabutan bertuah, tetapi pelanggan perlu SMS berbayar atau bayar dengan cara selain membeli produk/servis, maka hukumnya TIDAK BOLEH. Kerana berlaku perjudian di sini di mana pelanggan perlu bayar sejumlah wang, dan wang itu boleh hangus kerana ada kemungkinan untuk kalah dalam cabutan bertuah tersebut. Sama nasibnya seperti orang berjudi yang ada ‘kemungkinan rugi atas sebab duit dah dibayar.’
19. Syarikat yang mempromosi produk orang lain atau produk syarikat lain, kemudian menokok-nambah kelebihan produk demi melariskan jualan, sedangkan tidak ditanya terlebih dahulu kepada pihak pemilik asal produk tersebut. Tokok tambah yang paksu adalah dusta dan ‘bahaya’.
20. Syarikat yang menggunakan ‘perisian tidak original’, atau lain-lain yang melanggar undang-undang hakcipta / hak intelek. Begitu juga menjual produk PLR atau MRR tanpa membaca syarat-syarat yang terkandung dalam lesen penjualan produk digital tersebut, sehingga jualan melanggar syarat-syarat yang dipersetujui. Sebaiknya syarikat meneliti terlebih dahulu supaya tidak tersalah menjual.
21. Syarikat yang tidak menjelaskan dengan jelas syarat-syarat perlu dipatuhi oleh pembeli atau agen, sehingga menyusahkan mereka di kemudian hari kerana penjelasan yang tidak diberi sebelum pembelian atau pendaftaran berlaku.
PS : Syarikat di sini, juga merujuk kepada individu. Individu pun boleh terlibat dalam perniagaan yang tidak jujur dan tidak diredhai Tuhan. Jadi jaga diri anda dan perniagaan anda mengikut cara yang patuh Syariah.
Mungkin ada banyak lagi senarai perlu dimasukkan di sini.